KUALA LUMPUR, 6 Ogos- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menzahirkan dukacita dengan pemergian bekas pemain beregu negara, Gan Teik Chai yang meninggal dunia pada usia 40 tahun, semalam.
"Bersama Koo Kien Keat dan Tan Bin Shen, mendiang masing-masing memenangi Kejohanan Antarabangsa Perancis 2004 dan Terbuka Australia 2009.
"Fikiran semua orang di BAM bersama mendiang, keluarga, rakan dan orang tersayangnya ketika masa sukar ini," ringkas menurut BAM menerusi Facebook hari ini.
Sementara itu, berita kehilangan Teik Chai turut dikongsi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di media sosialnya malam tadi.
“Dengan berat hati dan pilu saya berkongsi berita pemergian teman rapat saya, Gan Teik Chai yang saya panggil Ah Gan.
"Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kesedihan mendalam yang saya rasai sekarang. Saya memutarkan berulang kali, mesej suara yang ditinggalkan, dia bersetuju menyertai saya di gelanggang minggu depan. Kini perlawanan dengan Ah Gan tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.
Tambah Chong Wei, mendiang bukan sekadar teman seperjuangan dalam sukan badminton, malah dianggap keluarga dalam hidupnya.
“Saya bersyukur dengan banyak kenangan yang kita kongsi bersama. Kami berkenalan sejak berusia 12 tahun. Daripada kelas hingga ke latihan dan kejohananan, setiap saat bersama Teik Chai dipenuhi gelak tawa, kegembiraan dan kasih sayang tanpa syarat,” katanya.