BARCELONA, 3 Mac-Barcelona kembali ke puncak LaLiga dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Real Sociedad yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada Ahad.
Ini merupakan kemenangan keenam berturut-turut buat skuad kendalian Hansi Flick, sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas dengan 57 mata daripada 26 perlawanan, satu mata mengatasi Atletico Madrid.
Penyandang juara, Real Madrid pula kini di tempat ketiga dengan 54 mata selepas tewas 2-1 kepada Real Betis pada Sabtu.
"Kami gembira dengan cara kami bermain. Kemenangan ini penting untuk kembali ke puncak liga.
"Kami bekerja keras dan hasilnya semakin baik," kata Ronald Araujo, yang turut menyumbang satu gol dan satu bantuan gol dalam perlawanan tersebut.
Pada perlawanan tersebut, Real Sociedad hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan Sergio Gomez yang terkena pemain pertahanan Barcelona. Namun, gol tersebut dibatalkan selepas semakan VAR kerana ofsaid.
Momentum Sociedad terus musnah selepas Aritz Elustondo dilayangkan kad merah pada minit ke-17 kerana menjatuhkan Dani Olmo.
Tidak lama selepas itu, Barcelona mula menguasai permainan.
Gol pertama hadir pada minit ke-25 apabila Lamine Yamal membuat larian solo sebelum menghantar bola kepada Olmo, yang kemudiannya melakukan hantaran cantik untuk disempurnakan oleh Gerard Martin. gol berkenaan merupakan gol profesional pertama kariernya.
Tiga minit kemudian, Marc Casado turut mencetak gol pertamanya apabila bola rembatan Olmo terkena dirinya sebelum menerjah gawang Sociedad.
Selepas rehat, Barcelona terus mengasak dan menambah gol ketiga pada minit ke-56 menerusi tandukan Araujo selepas penjaga gol Sociedad, Alex Remiro, gagal menepis bola dengan kemas.
Robert Lewandowski melengkapkan pesta gol dengan jaringan ke-21 dalam saingan liga musim ini apabila dia bijak menampan hantaran Araujo untuk memastikan kemenangan 4-0 buat pasukannya.
Gol itu turut merupakan gol ke-34 Lewandowski dalam semua pertandingan musim ini, iaitu rekod terbaiknya sejak menyertai Barcelona pada 2022.
Barcelona kini akan menumpukan perhatian kepada perlawanan penting Liga Juara Eropah menentang Benfica dalam pusingan 16 pertama pada Rabu.
Dengan momentum kemenangan yang baik, skuad Flick berharap dapat meneruskan rentak cemerlang mereka di pentas Eropah.-AFP.