fb fb fb fb fb

Badminton Terbuka Malaysia: Pasangan Yew Sin-Ee Yi mara ke suku akhir kejohanan

BUKIT JALIL, 12 Januari-Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi memberi sedikit kelegaan buat peminat badminton negara apabila menjadi wakil Malaysia pertama mengesahkan kemaraan ke pusingan suku akhir Kejohanan Terbuka Malaysia 2023.

Pasangan negara itu mara setelah menumpaskan lawan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dalam pertarungan 3 set di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pada pertemuan di pusingan 16 terakhir itu, Yew Sin-Ee Yi bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas pasangan ranking ke-15 dunia tersebut.

Beregu nombor tujuh dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mendominasi dua set berikutnya, sekali gus menang 17-21, 21-13 dan 21-14.

Sokongan padu peminat negara di Axiata Arena jelas menyuntik semangat mereka untuk bangkit menjamin slot ke suku akhir.

Menurut Teo Ee Yi, sokongan peminat yang hadir di stadium menyemarakkan semangat mereka untuk bangkit memenangi perlawanan.

"Beraksi di halaman sendiri beri sedikit kelainan. Sorakan penonton membuatkan kami bersemangat untuk bermain dengan baik", katanya ditemui selepas perlawanan.

Kejayaan itu memberi kegembiraan buat peminat Malaysia selepas jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dan beregu wanita utama, Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir awal di kejohanan ini.

Yew Sin dan Ee Yi bagaimanapun bakal berdepan laluan sukar apabila diundi bertemu beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian di suku akhir petang esok.


(Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi mara ke suku akhir)

Media Baharu