KUALA LUMPUR, 6 April - Atlet karate negara dijangka mula mendapat perlindungan daripada syarikat insurans dalam masa terdekat.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ketika ini masih di peringkat pemprosesan dengan syarikat pengendali insuran.
"Untuk senior, mereka sudah ada skim gaji dan dilindungi oleh KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).
"Untuk junior (pelapis) kita juga akan buat insurans penuh yang dibayar oleh persatuan. Kita akan bayar setiap tahun atau secara bulanan sehingga dia masih berkhidmat dalam program pembangunan.
"Saya akan buat kedua-duanya (insurans) perubatan dan nyawa. Ada insurans disediakan dalam setiap kejohanan, tetapi ia berlangsung hanya ketika dalam kejohanan sahaja.
"Saya ingin membuat insurans itu selepas habis kejohanan, dalam perjalanan balik dan itu penting pada kita supaya dapat menjaga nyawa atlet dengan baik.
"Kita sedang proses sekarang dan rasanya selepas sambutan hari raya sudah boleh teruskan, kita akan jalin usahasama iaitu, 50 peratus kita (MAKAF) bayar, 50 peratus lagi syarikat insurans taja," kata Nur Azmi ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), malam tadi.
Sebelum ini media melaporkan MAKAF sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan perlindungan insurans hayat buat atlet karate kebangsaan.
Nur Azmi berkata langkah itu dibuat bagi menjaga kebajikan mereka dan perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa MAKAF.
Keputusan mengenai perkara itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat yang akan diadakan Mei depan.