fb fb fb fb fb

ACT 2023: Malaysia mara ke separuh akhir selepas benam Jepun

(FOTO FB MalaysianHockeyConfederation)

CHENNAI, 8 Ogos- Skuad hoki lelaki negara bangkit melupakan kekalahan besar kepada India untuk menewaskan Jepun 3-1 pada saingan yang berlangsung pada Isnin.

Kemenangan ketiga diraih Speedy Tigers pada aksi di Stadium Mayor Radhakrishnan itu menyaksikan mereka mengesahkan slot ke separuh akhir ACT 2023.

Pada aksi tersebut, anak buah A. Arul Selvaraj menampilkan corak permainan pantas pada suku pertama perlawanan dan membuka tirai jaringan menerusi tonggak pertahanan Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Pasukan negara kemudian berjaya menggandakan jaringan pada suku ketiga perlawanan hasil jaringan padang pemain tengah Meor Muhammad Azuan Hassan yang memanfaatkan hantaran Mohd Fitri Saari menerusi satu gerakan menarik pada minit ke-37.

Speedy Tigers yang mendominasi suku terakhir permainan melebarkan kedudukan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-59 manakala Takuma Niwa pula menghadiahkan gol sagu hati buat Jepun di penghujung perlawanan.

Skuad kebangsaan kini mengumpul sembilan mata untuk merampas kedudukan teratas daripada India yang kurang satu perlawanan dengan enam mata diikuti juara bertahan Korea Selatan, Pakistan, Jepun dan China di kedudukan tercorot.


(FOTO FB MalaysianHockeyConfederation)

Media Baharu