Nurul Izzah raih emas, mula musim dengan bergaya

Pemenang pingat Emas dari Malaysia, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (tengah) bergambar di atas podium bersama pemenang pingat Perak Nur Alyssa Mohd Farid (kiri) dan pingat Gangsa Anis Amira Rosidi (kanan) pada perlumbaan Siri Trek ASEAN Piala Presiden 1 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini/ Foto BERNAMA

NILAI, 7 Januari – Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, membuka tirai musim 2026 dengan penuh bergaya selepas menjuarai acara pecut elit wanita pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nurul Izzah membuka musim 2026 dengan bergaya selepas menang acara pecut elit wanita di Velodrom Nasional Nilai.
  • Pelumba 22 tahun itu menewaskan rakan sepasukan Nurul Alyssa Farid dalam perlumbaan akhir untuk pingat emas.
  • Beliau menganggap kemenangan ini sebagai permulaan positif dan sasaran untuk meningkatkan prestasi seterusnya.
  • Fokus utama kini meningkatkan kuasa pecut, fizikal dan menambah berat badan untuk prestasi lebih konsisten.
  • Nurul Izzah dijangka beraksi di Kejohanan ACC di Filipina dan mensasarkan Sukan Asia Nagoya sebagai fokus utama.

Pelumba berusia 22 tahun itu meraih pingat emas selepas menewaskan rakan sepasukannya, Nurul Alyssa Farid, dalam perlumbaan akhir.

Kemenangan ini menandakan permulaan positif buat pelumba kelahiran Sungai Petani itu bagi musim baru.

“Alhamdulillah, walaupun catatan masa awal tidak begitu baik, saya berjaya mara ke final dan seterusnya meraih pingat emas. Ini permulaan yang sangat positif dan saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi pada perlumbaan seterusnya,” kata Nurul Izzah selepas majlis penyampaian hadiah.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama kini adalah meningkatkan kuasa pecut dan fizikal, sekali gus memastikan prestasinya konsisten di setiap kejohanan.

“Saya masih dalam fasa meningkatkan berat badan dan kuasa pecut kerana belum mencapai tahap maksimum. Fokus saya adalah untuk terus konsisten dan memperbaiki prestasi dari satu kejohanan ke satu kejohanan,” jelasnya.

Nurul Izzah dijangka beraksi pada Kejohanan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) di Filipina pada Mac ini, sebelum menumpukan perhatian pada Sukan Asia di Nagoya pada September sebagai sasaran utama musim ini.

Kemenangan ini bukan sahaja memberikan suntikan keyakinan awal, malah menegaskan bahawa Nurul Izzah kini berada pada trajektori positif untuk mencatat prestasi cemerlang bagi negara.