
NEW DELHI, 13 Januari – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie memulakan langkah cemerlang pada kempen Terbuka India 2026 apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Taiwan Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi hari ini.
- Goh Soon Huat dan Shevon Lai mara ke pusingan kedua Terbuka India 2026 selepas menang 21-17, 21-17.
- Mereka akan berdepan gandingan Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat di pusingan kedua.
- Jimmy Wong-Lai Pei Jing juga layak selepas menewaskan pasangan Jepun 21-10, 23-21.
- Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tersingkir selepas tewas tipis kepada pilihan ketiga Thailand dalam tiga set.
Pilihan kelapan itu hanya memerlukan 29 minit untuk menang straight sets 21-17, 21-17.
Mereka akan menentang lawan dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat di pusingan kedua.
Turut layak satu lagi gandingan profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang menundukkan pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi.
Beregu ranking ke-26 dunia itu mengambil masa 36 minit untuk menyingkirkan lawan di ranking ke-52 tersebut dengan kemenangan straight sets 21-10 dan 23-21.
Menanti mereka sama ada gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark.
Sementara itu, nasib berbeza buat gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin apabila terpaksa lupakan hasrat untuk melangkah jauh dalam siri Super 750 itu selepas tewas kepada pilihan ketiga kejohanan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-17, 16-21, 20-22. – BERNAMA