
KUALA LUMPUR , 27 Januari – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menyasarkan perubahan besar dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta perubahan teknologi masa depan, selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035.
- Fokus UPTM pada graduan berdaya maju, bukan semata-mata kelangsungan, selari aspirasi RPN 2026–2035.
- Penekanan kepada jaringan kerja, kokurikulum aktif dan sikap kolaboratif sejak di universiti.
- Peranan institusi tinggi membentuk akal budi, etika dan tanggungjawab sosial graduan.
- Perlu terjemahkan dasar kepada pelaksanaan melalui komunikasi berkesan antara pembuat dasar dan pelaksana.
Naib Canselor UPTM, Profesor Dr Sharifah Syahirah Shiekh berkata, RPN bukan lagi berteraskan kelangsungan atau survival, sebaliknya menuntut anjakan pemikiran ke arah mod strive, iaitu usaha berterusan menuju status negara maju.
Menurut beliau, falsafah tersebut perlu diterapkan sejak di bangku universiti dengan menekankan pembinaan jaringan kerja, penglibatan aktif dalam kokurikulum serta pembentukan sikap kolaboratif dalam kalangan pelajar.
“Graduan bukan sekadar perlu mendapatkan pekerjaan, tetapi menjadi insan yang disukai untuk bekerjasama, mampu menyumbang nilai dan berupaya mencipta peluang pekerjaan sebagai usahawan,” katanya kepada RTM di Angkasapuri, Kota Media.
Beliau turut menegaskan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pencetus pembentukan akal budi dan nilai madani, melahirkan graduan berakal, beretika dan bertanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Dalam menghadapi cabaran merealisasikan RPN 2026–2035, Profesor Dr Sharifah Syahirah menjelaskan cabaran paling kritikal adalah menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan sebenar.
Beliau merujuk kepada pendekatan new way of work yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi, yang menekankan keperluan komunikasi berkesan antara pembuat dasar dan pelaksana di peringkat institusi.
“Dokumen dasar perlu difahami dan diinterpretasi dengan baik. Walaupun tafsiran mungkin berbeza, matlamat utamanya tetap sama, iaitu melahirkan insan berakal yang mampu bertindak dan menabur bakti kepada negara serta mengangkat nilai-nilai madani,” jelas beliau.
Tambahnya, kerjasama berterusan antara universiti, industri dan rakan antarabangsa amat penting bagi memposisikan Malaysia sebagai negara yang melahirkan tenaga mahir dan profesional berkemahiran tinggi, berdaya inovasi serta memiliki nilai sahsiah yang baik.
Pendekatan ini, menurut beliau, diyakini mampu memastikan akses dan kualiti pendidikan terus terpelihara, sekali gus melahirkan graduan yang relevan, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan.