Peniaga rugi lebih RM277,000 akibat pelaburan tidak wujud

Foto Hiasan/Bernama

KUANTAN, 24 Januari – Seorang peniaga kerugian lebih RM277,000 akibat terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga kerugian lebih RM277,000 akibat pelaburan palsu ditawarkan melalui WhatsApp.
  • Mangsa mula-mula menerima kecil keuntungan lalu melaburkan semula sehingga jumlah besar.
  • Beberapa pindahan dibuat 8 hingga 12 Januari ke tiga akaun menggunakan simpanan, perniagaan dan pinjaman.
  • Kes dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 52 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi berkenaan sebelum ditawarkan satu pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Beliau berkata mangsa kemudian telah membuat pelaburan berjumlah RM1,000 dan RM70,000 serta menerima pulangan keuntungan sebanyak RM175 dan RM12,300.

“Keuntungan yang diterima telah dilaburkan semula oleh lelaki berkenaan, sebelum mangsa diyakinkan untuk meneruskan pelaburan dengan jumlah yang lebih besar.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman/Bernama

“Sepanjang tempoh 8 hingga 12 Januari lepas, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza menggunakan sumber kewangan simpanan sendiri, hasil perniagaan dan pinjaman daripada isteri serta kenalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata mangsa gagal menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan dan diberi pelbagai alasan oleh pihak terlibat sebelum menyedari ditipu.

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-BERNAMA