Saintis guna tag radio kesan rama-rama monarch

Tag radio bersaiz kecil dan ringan dipasang pada rama-rama monarch/foto REUTERS

FLORIDA, 27 Januari – Para saintis di Florida kini menggunakan teknologi penjejakan terbaharu bagi memantau pergerakan rama-rama raja atau lebih dikenali sebagai rama-rama monarch secara masa nyata, satu pencapaian yang disifatkan mampu mengubah secara signifikan kajian migrasi dan tingkah laku serangga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemasangan tag radio kecil membolehkan penjejakan masa nyata pergerakan rama-rama monarch dengan lebih tepat.
  • Tag menggunakan Bluetooth dan panel solar, dikesan oleh peranti dalam lingkungan tanpa memerlukan bateri.
  • Data peta interaktif membantu fahami laluan migrasi, persinggahan dan kesan faktor persekitaran.

Penyelidik dari Universiti Miami dan Universiti Princeton memasang tag radio bersaiz kecil dan ringan pada rama-rama monarch, yang membolehkan data lokasi dihantar ketika serangga itu merentasi Amerika Utara.

Peranti berkenaan cukup kecil untuk diletakkan di bahagian belakang rama-rama, sekali gus membolehkan pergerakan yang sebelum ini hanya dianggarkan melalui penemuan fizikal dan penandaan tradisional dipantau dengan lebih tepat.

Pensyarah Biologi Evolusi Universiti Miami, Dr. Neil Rosser berkata, kerjasama antara kepakaran biologi dan teknologi membuka ruang baharu dalam penyelidikan serangga.

“Kepakaran saya adalah rama-rama, manakala penyelidik pascadoktoral Universiti Princeton, Isla Duporge, dalam teknologi, dron dan kecerdasan buatan.

“Kami melihat potensi untuk digabungkan, dan kebetulan teknologi baharu ini membolehkan tag kecil dipasang pada rama-rama untuk menjejaki pergerakan mereka,” katanya.

Tag berkenaan dibangunkan oleh Cellular Tracking Technologies dan menggunakan isyarat Bluetooth serta panel solar kecil bagi menghantar data tanpa memerlukan bateri. Mana-mana penerima dalam lingkungan, termasuk telefon pintar, boleh mengesan isyarat tersebut, sekali gus membolehkan tag berfungsi sepanjang jangka hayat rama-rama itu.

Menurut Duporge, keupayaan menjejak rama-rama monarch secara langsung membuka peluang luas dalam penyelidikan migrasi.

“Migrasi rama-rama monarch melibatkan perjalanan ribuan kilometer dari Kanada dan utara Amerika Syarikat ke kawasan musim sejuk di Mexico. Ia merupakan migrasi terpanjang yang diketahui bagi serangga, walaupun generasi yang berhijrah tidak pernah melakukan perjalanan itu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, masih banyak persoalan yang belum terjawab, termasuk laluan yang digunakan, bilangan laluan migrasi, serta perbezaan antara populasi tetap dan migrasi.

Data yang diperoleh daripada tag dipaparkan melalui peta interaktif yang menunjukkan laluan pergerakan secara terperinci, sekali gus memberi gambaran tentang cara navigasi, lokasi persinggahan dan kesan faktor persekitaran terhadap migrasi.

Para penyelidik turut memaklumkan teknologi sama berpotensi digunakan untuk menjejak serangga lain seperti pepatung dan belalang, sekali gus membantu kajian ekologi dan berpotensi menyokong usaha kemanusiaan, termasuk pemantauan kawanan serangga perosak.

“Ini benar-benar satu perubahan besar, bukan hanya untuk rama-rama Monarch, tetapi untuk memahami bagaimana haiwan bergerak di dunia ini,” kata Rosser. – REUTERS