
SYDNEY, 12 Januari – Gergasi teknologi Meta pada Isnin menggesa Australia untuk menilai semula larangan media sosial terhadap pengguna bawah 16 tahun, sambil melaporkan lebih 544,000 akaun bawah umur telah disekat sejak undang-undang baharu itu berkuat kuasa.
- Meta gesa Australia nilaikan semula larangan media sosial untuk bawah 16 tahun, cadangkan pendekatan berasaskan keselamatan dan kesesuaian umur.
- Meta tutup lebih 544,000 akaun bawah umur sejak undang-undang berkuat kuasa dan tekankan komitmen mematuhi peraturan.
- Syorkan kaedah alternatif termasuk pengesahan umur, kebenaran ibu bapa dan standard industri seperti Inisiatif OpenAge dan AgeKeys.
Australia mewajibkan platform besar seperti Meta, TikTok dan YouTube menghalang pengguna bawah umur daripada memiliki akaun sejak 10 Disember tahun lalu.
Syarikat yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga Aus$49.5 juta atau (AS$33 juta).
Meta memaklumkan, telah menutup 331,000 akaun Instagram, 173,000 akaun Facebook dan 40,000 akaun Threads dalam tempoh seminggu sehingga 11 Disember.
Dalam satu kenyataan, syarikat berkenaan menegaskan ia komited untuk mematuhi undang-undang berkenaan.
“Namun begitu, kami menggesa kerajaan Australia untuk bekerjasama dengan industri secara konstruktif bagi mencari jalan yang lebih baik, seperti memberi insentif kepada seluruh industri untuk meningkatkan standard dalam menyediakan pengalaman dalam talian yang selamat, melindungi privasi dan sesuai dengan umur dan bukannya mengenakan larangan menyeluruh,” kata Meta dalam satu kenyataan.
Meta juga mengulangi gesaannya sebelum ini agar kedai aplikasi (app stores) diwajibkan mengesahkan umur pengguna dan mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum golongan bawah 16 tahun dibenarkan memuat turun aplikasi.
Meta berkata ibu bapa dan pakar bimbang larangan itu akan mengasingkan golongan muda daripada komuniti dalam talian, serta mendorong sebahagian daripada mereka ke aplikasi yang kurang dikawal selia dan terjerumus ke sudut gelap internet.
Kesan awal pelaksanaan undang-undang itu “menunjukkan ia tidak mencapai objektif untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan golongan muda Australia”, tegas Meta.
Sambil menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan standard industri untuk menentukan umur pengguna dalam talian, Meta berkata pematuhannya terhadap undang-undang Australia akan menjadi suatu “proses berlapis”.
Sejak larangan itu dilaksanakan, syarikat berpangkalan di California itu berkata ia telah membantu menubuhkan OpenAge Initiative, sebuah kumpulan bukan keuntungan yang melancarkan alat pengesahan umur dipanggil AgeKeys untuk digunakan oleh platform-platform yang mengambil bahagian. -AFP