Ketegangan meningkat, Somalia hentikan semua kerjasama dengan UAE

Penduduk mengibarkan bendera Somalia ketika menghadiri perhimpunan membantah pengumuman terkini Israel yang mengiktiraf wilayah pemisah Somaliland, sempena perhimpunan menuntut keutuhan wilayah Somalia di Stadium Mogadishu, Mogadishu pada 30 Disember 2025/ Foto AFP

MOGADISHU, 13 Januari – Somalia pada Isnin membatalkan semua perjanjian dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan ketegangan yang semakin memuncak berkaitan pengiktirafan Israel terhadap Somaliland serta laporan penggunaan wilayah Somalia bagi membantu seorang pemimpin pemisah Yaman melarikan diri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Somalia membatalkan semua perjanjian keselamatan dan pertahanan dengan Emiriah Arab Bersatu.
  • Keputusan dibuat atas dakwaan tindakan bermusuhan yang menjejaskan kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia.
  • Perintah melarang operasi UAE di Berbera dan membatalkan kerjasama di pelabuhan Bosaso serta Kismayo.
  • Ketegangan dipacu pengiktirafan Israel terhadap Somaliland dan dakwaan bantuan pelarian pemimpin pemisah Yaman.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Somalia berkata Majlis Menteri telah “membatalkan semua perjanjian yang dimeterai dengan Emiriah Arab Bersatu, termasuk perjanjian kerjasama keselamatan dan pertahanan dua hala,” selepas menilai perkembangan terkini.

Hubungan antara Somalia dan UAE dilaporkan semakin renggang sejak kebelakangan ini berikutan beberapa isu sensitif.

UAE dilihat secara senyap menyokong langkah Israel bulan lalu mengiktiraf Somaliland iaitu negara pertama berbuat demikian sejak wilayah itu mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral daripada Somalia pada 1991.

UAE sebelum ini membina dan mengendalikan sebuah pelabuhan laut dalam serta pangkalan ketenteraan di Berbera, Somaliland.

Ketegangan kembali memuncak minggu lalu selepas Arab Saudi menuduh UAE membantu pemimpin pemisah Yaman, Aidarous Al-Zubaidi, melarikan diri melalui laluan laut dan udara menggunakan Berbera serta ibu negara Somalia, Mogadishu, sebelum menuju ke Abu Dhabi.

Agensi imigresen Somalia berkata ketika itu pihaknya sedang menyiasat “dakwaan penggunaan tanpa kebenaran ruang udara dan lapangan terbang negara.”

Bagaimanapun, dalam kenyataannya pada Isnin, kerajaan Somalia tidak secara langsung merujuk kepada pengiktirafan Somaliland atau dakwaan pelarian Al-Zubaidi.

Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat “berasaskan laporan yang boleh dipercayai dan bukti kukuh mengenai tindakan bermusuhan yang menjejaskan kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kebebasan politik Somalia.”

“Keputusan kabinet hari ini dibuat selepas tempoh kesabaran yang panjang oleh kepimpinan kerajaan persekutuan. UAE terus campur tangan dalam hal ehwal dalaman Somalia dan terlibat dalam salah laku serta dasar berkepentingan dua hala di negara ini,” kata seorang pegawai kanan di Istana Presiden Somalia kepada AFP, yang enggan dikenali dan tidak memperincikan lanjut dakwaan tersebut.

Sebahagian besar masyarakat antarabangsa, khususnya di Afrika dan dunia Arab, menentang pengiktirafan Israel terhadap Somaliland kerana bimbang ia akan mencetuskan gerakan pemisahan lain di rantau itu.

Namun, UAE kekal berdiam diri mengenai isu tersebut.

Somaliland mempunyai kedudukan strategik di Teluk Aden serta memiliki mata wang, pasport dan angkatan tenteranya sendiri. Wilayah itu dilihat sebagai lokasi strategik, sama ada bagi Israel untuk menekan kumpulan Houthi di Yaman atau bagi UAE menyalurkan sokongan kepada sekutunya di Afrika.

Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud menyifatkan keputusan Israel itu sebagai satu “ancaman” terhadap kestabilan Tanduk Afrika yang sedia rapuh.

Dalam kenyataan sama, kerajaan Somalia berkata UAE tidak lagi dibenarkan beroperasi di Berbera, meskipun kuasa Mogadishu ke atas wilayah itu adalah terhad.

Kerjasama UAE di dua lagi pelabuhan Somalia iaitu Bosaso dan Kismayo turut dibatalkan, walaupun kedua-duanya terletak di wilayah separa autonomi Puntland dan Jubaland, di mana kerajaan persekutuan hanya mempunyai kawalan terhad.- AFP