KUALA LUMPUR, 13 Mac - Kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ternyata bakal memberi impak positif kepada kestabilan ekonomi negeri tersebut.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan ia bukan sahaja berupaya meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelabur, malah mampu menjana ekonomi negara sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Menurut beliau, aspek ekonomi perlu terus diberi keutamaan apabila bermulanya pemerintahan BN sekali gus memastikan limpahan ekonomi sampai ke seluruh pelusuk negeri Johor dan tidak hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar sahaja.
"Apabila kestabilan ekonomi dan politik dapat dicapai, ianya akan memberi kesan positif juga terhadap keyakinan pelabur, bukan sahaja pelabur domestik malahan pelabur antarabangsa, ini kerana kerajaan yang stabil akan memastikan segala dasar dan inisiatif untuk menarik pelaburan ke negeri akan dapat dilaksanakan tanpa gangguan dan komitmen penuh dapat diberikan oleh kerajaan negeri sepanjang tempoh pemerintahan tersebut," katanya ketika dihubungi Berita RTM, di sini.
Ahmed Razman yakin rakyat telah menilai sebaiknya pucuk pimpinan yang mereka inginkan dan mula memilih politik yang lebih matang bagi memakmurkan negeri tersebut.
(Gambar fail)
Sementara itu, Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib menyifatkan kemenangan besar BN dalam PRU Dewan Negeri Johor menterjemahkan keyakinan semula rakyat terhadap kepimpinan parti itu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor memaparkan bahawa rakyat mahukan kestabilan negeri dan juga kerancakan pembangunan negeri Johor itu sebagai negeri pemangkin pembawa pelabur dan sebagainya, ia menjadi satu negeri yang signifikan kepada pembangunan Malaysia secara keseluruhan, jadi disebabkan ini, kita melihat bahawa 2/3 yang diperolehi oleh Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan ini adalah satu amanah baru rakyat," kata beliau.
Md Shukri berkata setiap manifesto yang dikemukakan dalam Ikhtiar Barisan Nasional Johor perlu direalisasikan menerusi dasar dan pimpinan pentadbiran baharu negeri berkenaan.
Mandat rakyat harus diberi keutamaan menerusi pemerintahan yang telus dan berwibawa supaya sandaran kepercayaan rakyat kepada pimpinan baharu tidak disia-siakan dan dimanfaatkan sebaiknya.