fb fb fb fb fb

Pembinaan PPR Harmoni Madani selesaikan isu pemilikan rumah pekerja ladang

Foto FB drsathiaprakash

KUALA SELANGOR, 6 Mei - Kerajaan hari ini mengumumkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata Pembangunan PPR itu bakal memanfaatkan kira-kira 1250 penduduk dari lima estet di sekitar kawasan berkenaan.

Tambah Kor Ming, Kerajaan Persekutuan dan Selangor bersetuju bagi memperuntukkan kira-kira RM75 juta bagi pembinaan 245 unit rumah tersebut.

"PPR di Bestari Jaya ini dicadangkan dinamakan sebagai PPR Harmoni Madani.

"Ini untuk mencerminkan semangat perpaduan antara kaum. Keharmonian dan perpaduan adalah antara dua kunci utama kejayaan negara. Oleh kerana itu, PPR ini akan dicadangkan dinamakan sebagai PPR Harmoni Madani," katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu yang turut hadir di majlis berkenaan berkata pembinaan projek berkenaan dijangka mengambil masa selama dua tahun daripada tempoh kelulusan.

"Dalam tempoh dua tahun ini, kami akan berusaha bagi menyelesaikan projek. Insya-Allah, kita akan menjemput Perdana Menteri bagi menyerahkan kunci kepada semua pemilik rumah", kata Papparaidu.

Sementara itu, salah seorang wakil ahli keluarga peneroka di lima ladang terbabit, Siti Jarinah Mohd Jajuli mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan Selangor dengan pembinaan PPR tersebut.

"Saya berasa gembira kerana akhirnya rumah yang lama kami perjuangkan selama 26 tahun akhirnya tercapai. Terima kasih kepada Perdana Menteri", katanya yang ditemui RTM di sini.

Sebelum ini, penduduk dari lima ladang di Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu membabitkan Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak meletakkan syarat jika mana-mana calon yang inginkan sokongan mereka pada PRK Kuala Kubu Baharu kali ini perlu membuat perakuan berkanun (SD).

Wakil jawatankuasa penduduk terbabit, Vasudevan Raja Manickam dilaporkan berkata, calon yang mahu undi perlu membuat SD bagi menunaikan segala janji yang ditabur.


 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD