SUNGAI SIPUT, 26 Oktober - Barisan Nasional (BN) Perak menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Pengerusinya Datuk Seri Saarani Mohamad berkata BN optimis setelah mengambil kira faktor penerimaan rakyat kepada BN yang mahukan perubahan dan kerajaan yang stabil.
"Saya sebagai Menteri Besar yang telah mengumum dan melancarkan pada 15 Jun lalu, saya mesti meneruskan usaha baik ini. Sebab itu, Perak Sejahtera 2030 menjadi sebahagian manifesto kita. Kerana kita mesti meneruskan apa yang kita telah rancang.
“Keyakinan untuk membentuk kerajaan itu tidak mustahil kerana pengundi kini sangat dinamik dan untuk mendapatkan satu kerajaan yang stabil, BN mesti tubuh kerajaan atas kekuatan parti sendiri,” kata Saarani yang juga Menteri Besar Perak, kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Deepavali peringkat Perak, di sini semalam.
(Datuk Seri Saarani Mohamad/FOTO BERNAMA)
DUN Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan memerlukan sokongan 30 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
DUN Perak sebelum pembubaran pada 17 Oktober terdiri daripada 25 ADUN BN, DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS, PKR dan PBM masing-masing tiga manakala Bebas (satu).
Sementara itu, Saarani berkata Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti di Perak terpakai untuk Ahli Parlimen sahaja.
"Kita tidak sempat hendak membentangkan RUU terbabit maka ia tidak terpakai di DUN Perak," katanya.