
KUALA LUMPUR, 7 April – Tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat yang dikemuka Sunway Bhd ke atas IJM Corporation Bhd secara rasmi luput selepas tempoh penerimaan ditutup pada pukul 5 petang semalam.
- Kira-kira 33 peratus pemegang saham IJM menerima tawaran Sunway sepanjang proses tawaran.
- Pemegang saham Sunway memberi sokongan kuat, 99.27 peratus mengundi menyokong cadangan pengambilalihan.
- Sunway menghormati keputusan pemegang saham IJM, menghargai perbincangan awam dan akan memulangkan saham yang didepositkan segera.
Dalam satu kenyataan, Sunway memaklumkan kira-kira 33 peratus pemegang saham IJM telah menerima tawaran tersebut sepanjang proses berkenaan.
Syarikat itu turut menzahirkan penghargaan atas keyakinan dan sokongan diberikan.
Tahap minat dan perbincangan yang ditunjukkan mencerminkan kepentingan urus niaga berkenaan serta kekuatan pasaran modal Malaysia.
“Ketika mesyuarat agung luar biasa kami, pemegang saham Sunway telah menyatakan sokongan amat kukuh terhadap cadangan ini, dengan 99.27 peratus mengundi menyokong, mencerminkan sokongan padu terhadap rasional strategik dan komersial tawaran tersebut.
“Kami menghormati keputusan pemegang saham IJM serta hasil proses ini. Dalam mana-mana urus niaga berskala besar, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang lazim dan kami menghargai perbincangan awam yang aktif sepanjang tempoh tawaran,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkaitan yang terlibat dalam proses tersebut akan memudahkan pemulangan saham yang telah didepositkan di bawah tawaran itu dengan segera, selaras prosedur ditetapkan.