Projek LSS jana pelaburan lebih RM11 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Februari Ketegasan kerajaan melaksanakan agenda pelepasan karbon sifar bersih serta sasaran 41 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sistem grid menjadi pemacu utama dalam melonjakkan sektor tenaga tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek solar berskala besar LSS, pusat data dan solar atap tingkat kapasiti tenaga boleh baharu.
  • Inisiatif itu menjana pelaburan melebihi RM11 bilion.
  • Projek membuka peluang pekerjaan sehingga 180,000.
  • Peralihan tenaga bersih kurangkan intensiti karbon lebih 115 juta dan kukuhkan ekosistem ekonomi hijau.

Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, ia menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mula menunjukkan kemajuan serta kemasukan pusat data berskala besar berjaya meningkatkan permintaan tenaga bersih yang dianggarkan mencecah 7,000 megawat.

Selain itu, pembukaan besar-besaran program solar atap dengan penyertaan aktif perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menjadi pemangkin utama yang memperluas rantaian ekonomi daripada sektor isi rumah hingga industri.

“Gabungan projek solar berskala besar (LSS), kemasukan pusat data dan solar atap bukan sahaja melonjakkan kapasiti tenaga boleh baharu, malah menjana pelaburan melebihi RM11 bilion serta membuka peluang pekerjaan sehingga 180,000.

“Di samping mengurangkan lebih 115 juta intensiti karbon apabila tenaga ini disuntik ke dalam grid,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Subang Jaya, Selangor

Menurut beliau, pembangunan TBB juga mewujudkan kesan limpahan ekonomi merangkumi sektor kewangan,perbankan, sukuk, perundingan dan latihan, sekali gus mengukuhkan ekosistem ekonomi hijau negara.

Tambahnya, peralihan kepada tenaga bersih meningkatkan daya tarikan negara sebagai hab pusat data bertaraf tinggi yang memerlukan bekalan tenaga hijau bagi pensijilan antarabangsa dan nilai pelaburan yang lebih premium.