Program literasi kewangan bantu tingkat pengurusan kewangan isi rumah

Jom Bijak Wang di ibu negara hari ini/RTM

KUALA LUMPUR, 18 Mei- Hampir enam daripada 10 rakyat Malaysia berdepan kesukaran menyediakan simpanan kecemasan mencukupi, sekali gus menjadikan pendidikan kewangan sebagai keperluan asas dalam memperkukuh daya tahan kewangan isi rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan kewangan kini keperluan asas untuk ketahanan dan kesejahteraan masa depan.
  • Program literasi perlu pendekatan kreatif dan mudah difahami supaya capaian meliputi semua lapisan masyarakat.
  • Pengurusan kewangan berhemah: utamakan perbelanjaan keperluan, bukan kehendak, dan amalkan simpanan konsisten.
  • Inisiatif seperti Jom Bijak Wang sasar anak yatim, asnaf dan B40 serta pendedahan perbankan digital dan STEM.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata program literasi kewangan perlu diperkasa dengan pendekatan lebih kreatif dan mudah difahami bagi memastikan impaknya sampai kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata pengurusan kewangan berhemah perlu berasaskan keutamaan perbelanjaan serta amalan menyimpan secara konsisten.

“Literasi kewangan ini sangat penting dalam keadaan cabaran ekonomi semasa. Ia mengajar kita kembali kepada asas iaitu berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak, serta mengamalkan tabiat menyimpan secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Jom Bijak Wang di sini, hari ini.

Mengulas dapatan Bank Negara Malaysia menerusi Financial Capability and Inclusion Survey 2024, beliau berkata tahap literasi kewangan rakyat masih sederhana, manakala sebahagian besar masih tidak mempunyai simpanan kecemasan mencukupi.

“Ini menunjukkan pendidikan kewangan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas untuk kelangsungan hidup dan kesejahteraan masa hadapan,” katanya.

Program Jom Bijak Wang dianjurkan Bank Muamalat Malaysia Berhad dan diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Program Literasi Kewangan Altitud Tertinggi dalam Bangunan Pencakar Langit.

Program di aras 83 Menara Berkembar Petronas pada ketinggian 358 meter itu menghimpunkan peserta dalam kalangan anak yatim, asnaf dan kumpulan B40 dengan fokus pengurusan kewangan asas, perancangan simpanan serta pendedahan perbankan digital.

Program itu turut menyokong pembangunan ilmu masa hadapan melalui pendedahan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi lawatan ke Petrosains, The Discovery Centre.

Bank Muamalat memaklumkan usaha memperluas literasi kewangan akan diteruskan melalui kerjasama strategik bagi memperkukuh daya tahan kewangan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.