
KUALA LUMPUR, 18 Mei– Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan bahawa Malaysia perlu mempercepat peralihan daripada sekadar pengguna kepada pencipta dan pengeksport teknologi bagi memastikan negara kekal berdaya saing dalam ekonomi berasaskan inovasi.
- Memperkukuh pengkomersialan teknologi tempatan supaya inovasi sampai ke industri, masyarakat dan pasaran global.
- DSTIN menyasarkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030 melalui pengukuhan R&D dan inovasi dipacu industri.
- ITEX 2026 berperanan sebagai platform memperkukuh ekosistem inovasi dan mempromosi pengkomersialan hasil ciptaan tempatan.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata usaha itu penting bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara serta meningkatkan keupayaan pengkomersialan teknologi tempatan.
“Malaysia mempunyai idea, bakat dan kemampuan. Apa yang diperlukan kini ialah memastikan inovasi tidak terhenti di pertengahan jalan, sebaliknya dibawa ke peringkat industri, masyarakat dan pasaran global,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Norsham Abdul Latip pada majlis perasmian Invention, Innovation, Technology Competition and Exhibition (ITEX) 2026 di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata aspirasi itu selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang menyasarkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030 menerusi pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dipacu industri serta penggunaan teknologi maju secara meluas.
Menurut beliau, ITEX bukan sekadar platform pameran, sebaliknya mencerminkan usaha memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Tambah beliau, fokus MOSTI pada 2026 adalah mempercepat peralihan Malaysia kepada negara pencipta teknologi melalui pengukuhan keseluruhan rantaian inovasi dan pengkomersialan, daripada pembangunan idea hingga ke pasaran dan eksport.