PNB lancar sukuk boleh tukar bercagar AS$300 juta

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 DisemberPermodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pelancaran dan penetapan harga tawaran sulung bagi sukuk boleh tukar bercagar bernilai AS$300 juta, sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kepelbagaian portfolio pelaburan kumpulan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PNB melancarkan sukuk boleh tukar bercagar AS$300 juta melalui SPV Lunas Capital II Ltd untuk memperkukuh kepelbagaian portfolio.
  • Sukuk ini akan ditukar kepada saham biasa Gamuda Berhad dan hasilnya dilaburkan dalam sukuk global berdenominasi USD.
  • Struktur bercagar dan pelaburan USD bertindak sebagai lindung nilai terhadap risiko pertukaran serta mengurangkan risiko asing.
  • Tempoh matang lima tahun dengan pilihan jual pada tahun ketiga, kadar keuntungan sifar dan premium pertukaran 10 peratus.

Ini terutamanya dalam mengumpul dana dalam mata wang asing bagi pelaburan dalam aset global, khususnya sukuk global.

PNB dalam satu kenyataan berkata, sukuk boleh tukar itu diterbitkan melalui syarikat tujuan khas (SPV) yang diperbadankan di Labuan, iaitu Lunas Capital II Ltd, manakala Lunas Capital I Ltd akan bertindak sebagai pihak yang berkewajipan (obligor).

“Tawaran bersejarah ini akan ditukar kepada saham biasa Gamuda Berhad, sebuah syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur yang beroperasi di Asia, Australia dan United Kingdom.

Hasil penerbitan akan digunakan untuk melabur dalam aset sukuk global dengan gred pelaburan yang didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat (USD).” jelas PNB dalam kenyataan sama.

Selain itu, struktur sukuk ini turut berfungsi sebagai lindung nilai semula jadi terhadap risiko pertukaran mata wang, memandangkan pelaburan dibuat dalam aset berdenominasi dolar AS.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, penerbitan sukuk ini mencerminkan usaha berterusan PNB untuk memastikan portfolio kekal berdaya tahan dalam persekitaran pelaburan yang semakin mencabar.

Menurut beliau, sukuk ini membolehkan PNB memanfaatkan nilai pegangan ekuiti domestik, mengurangkan risiko pertukaran asing serta meningkatkan kepelbagaian portfolio, selaras dengan Perumpukan Aset Strategik di bawah Pelan Strategik LEAP 6.

“Secara keseluruhannya, langkah ini selaras dengan komitmen kami untuk mencapai prestasi secara berhemat, disokong oleh tadbir urus yang rapi dan pengurusan risiko yang mampan, seterusnya memastikan nilai jangka panjang bagi para pemegang unit.”katanya dalam kenyataan sama.

Sukuk Boleh Tukar ini mempunyai tempoh matang lima tahun, dengan pilihan jual kepada pelabur pada akhir tahun ketiga.

Kualiti kredit sukuk juga diperkukuh melalui cagaran yang disediakan oleh Lunas Capital I Ltd. bagi pihak pemegang Sukuk Boleh Tukar, yang merangkumi Saham Asas serta aset sukuk global yang didenominasikan dalam USD.

Ia juga bagi membolehkan sukuk yang ditawarkan itu berada dalam kadar keuntungan sifar peratus dan premium pertukaran sebanyak 10 peratus.

Menerusi tawaran ini, ia dijangka dijangka menyumbang kepada pembangunan instrumen boleh tukar di Malaysia serta menyokong pertumbuhan dan kecairan pasaran modal domestik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasaran sukuk terbesar dunia.