
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Malaysia perlu mempercepat usaha memperkukuh serta melaksanakan perjanjian perdagangan strategik susulan konflik di Asia Barat bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global.
- Percepat pelaksanaan perjanjian perdagangan strategik seperti RCEP dan BRICS untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
- Kenaikan harga minyak memberi tekanan kepada kos logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan makanan, menjejaskan inflasi dan pertumbuhan.
- Perkukuh keselamatan makanan dengan kurangkan kebergantungan import dan kaji semula dasar pertanian untuk hadapi ketidaktentuan geopolitik.
Penganalisis Hubungan Antarabangsa, Dr Zokhri Idris berkata, pelaksanaan perjanjian seperti Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) serta penglibatan dalam kerjasama ekonomi baharu perlu dipercepat bagi memastikan daya tahan ekonomi negara kekal kukuh.
“Kita perlu menilai semula perjanjian-perjanjian mega ekonomi yang telah ditandatangani, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan BRICS, serta mempercepat pelaksanaannya bagi menampung kejutan ekonomi yang mungkin berlaku,” kata Dr Zokhri Idris kepada RTM.
Menurut beliau, konflik berkenaan dijangka mengubah landskap ekonomi bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara serta kuasa ekonomi dunia lain.
Beliau menjelaskan, peningkatan harga minyak mentah daripada sekitar AS$75 setong kepada AS$100 ketika ini
berpotensi melonjak sehingga AS$150 hingga AS$200 setong.
Ini sekali gus memberi tekanan kepada kos logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan makanan.
Tambahnya, situasi itu boleh mendorong peningkatan inflasi serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi, khususnya bagi negara yang tidak mempunyai persediaan rapi.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan memperkukuh sekuriti makanan negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan sumber domestik.
Katanya, dasar pertanian dan keselamatan makanan perlu diteliti semula bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan risiko krisis ekonomi pada masa hadapan.