Pelbagaikan perniagaan, manfaat AI hadapi ketidaktentuan global

Pelbagaikan portfolio perniagaan juga meneroka bidang baharu yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 April – Entiti perniagaan Malaysia disaran bertindak proaktif dengan tidak mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik serta ekonomi semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bertindak proaktif: nilai dan sesuaikan perniagaan bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.
  • Pelbagaikan portfolio, terokai bidang baharu seperti AI dan automasi untuk jana pertumbuhan serta tingkatkan kecekapan.
  • Ambil peluang pembiayaan kini dan buat keputusan berani awal untuk elak tekanan kos apabila kadar faedah meningkat.

Naib Presiden Pemasaran Digital Growth Hacker, Kenny Phang berkata, keadaan ketika ini merupakan fasa memerlukan syarikat menilai keupayaan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan.

Antara langkah utama yang boleh diambil termasuk mempelbagaikan portfolio perniagaan juga meneroka bidang baharu yang berpotensi menjana pertumbuhan.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah berinovasi, mengamalkan pendekatan lebih cekap serta membuka peluang dalam bidang yang belum diceburi. Sebagai contoh,kecerdasan buatan (AI), automasi dan sebagainya.

“Saya sendiri telah memberi khidmat nasihat kepada pengilang dan kumpulan syarikat dalam perkara ini. Bagi saya, tempoh krisis ini masa paling sesuai untuk membuat penyesuaian,” katanya selepas sesi perbincangan mengenai ekonomi negara anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM).

Beliau turut menegaskan, syarikat perlu mengambil peluang ketika akses kepada pembiayaan masih tersedia, memandangkan institusi kewangan belum mengetatkan pemberian pinjaman.

Tindakan awal adalah penting bagi mengelakkan tekanan kos yang lebih tinggi pada masa hadapan, khususnya apabila kadar faedah meningkat.

Justeru, pendekatan berani dan pantas dalam membuat keputusan, platform memastikan kelangsungan dan pertumbuhan syarikat dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.