Pelaburan kekal kukuh meskipun berdepan cabaran global

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin menghadiri Persidangan Media Tahunan MIDA di ibu negara / RTM

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kejayaan Malaysia mencatatkan rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara pada 2025 dengan nilai RM426.7 bilion ringgit adalah satu pencapaian membanggakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan domestik kekal kukuh; pelaburan asing meningkat 20.9 peratus, menunjukkan keseimbangan antara sumber dalam dan luar negara.
  • Singapura dan China penyumbang asing terbesar, diikuti Amerika Syarikat, Jepun dan Hong Kong.
  • Jumlah 8,390 projek dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan baharu di seluruh sektor.
  • Sektor perkhidmatan penyumbang utama; pembuatan dan sektor utama turut memberikan pelaburan dan peluang pekerjaan signifikan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pencapaian itu mampu diraih meskipun berdepan ketidaktentuan dasar perdagangan serta ketegangan geopolitik.

Menurut beliau, jumlah pelaburan tersebut melibatkan 8,390 projek merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama yang dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan baharu.

“Pelaburan domestik kekal kukuh dengan nilai RM219.6 bilion atau 51.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kelulusan pelaburan, manakala pelaburan asing meningkat 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Singapura dan China muncul sebagai penyumbang pelaburan asing terbesar dengan masing-masing sebanyak RM58.3 bilion dan RM58.0 bilion, diikuti Amerika Syarikat RM15.1 bilion, Jepun serta Hong Kong.

Dari segi negeri, Johor mencatat jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM110 bilion, diikuti Selangor (RM83.9 bilion), Kuala Lumpur (RM63.3 bilion), Pulau Pinang (RM32.9 bilion) dan Kedah (RM27.8 bilion).

Dalam masa sama, negeri kurang membangun termasuk Kedah, Terengganu, Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak merekodkan RM66 bilion pelaburan diluluskan menerusi 941 projek, dengan potensi mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM281.3 bilion pelaburan diluluskan menerusi lebih 7,000 projek, yang dijangka menjana lebih 130,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, sektor pembuatan merekodkan RM131.3 bilion pelaburan diluluskan melibatkan lebih 1,300 projek dengan hampir 110,000 peluang pekerjaan baharu.

Bagi sektor utama, Malaysia mencatat RM14.2 bilion pelaburan diluluskan menerusi 32 projek, melibatkan sektor perlombongan dan pertanian.

Sehingga Februari 2026, MIDA turut memantau 172 projek berpotensi dengan cadangan pelaburan berjumlah RM29.1 bilion.