
BANGI, 7 April– Malaysia diyakini akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam tempoh terdekat, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
- Perbelanjaan kerajaan meningkat meransang penggunaan domestik dan aktiviti sektor swasta, menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
- Pakar tidak jangka kegawatan ekonomi tahun ini walaupun ketidaktentuan global wujud; risiko utama ialah tempoh konflik yang berterusan.
- Inflasi dijangka kekal terkawal tanpa lonjakan luar jangka, disokong subsidi bersasar, kawalan harga dan langkah perundangan.
- Dasar tertumpu melindungi golongan rentan melalui langkah bersasar memastikan kumpulan paling terjejas terus dibantu.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli, jangkaan itu disokong peningkatan perbelanjaan kerajaan yang terus merangsang penggunaan domestik serta aktiviti sektor swasta.
“Peningkatan emolumen, pencen dan perbelanjaan berkaitan membolehkan penggunaan domestik terus meningkat dan saya tidak menjangkakan kegawatan ekonomi akan berlaku tahun ini.”
”Cuma apa yang kita berdepan sekarang ialah risiko tempoh iaitu berapa lama peperangan ini akan berlangsung? Jika ia terus berlaku mungkin akan memberi impak kepada ekonomi,” katanya selepas forum “Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia?” anjuran MINDA-UKM.
Tambahnya, inflasi di Malaysia juga dijangka kekal terkawal dan tidak menunjukkan lonjakan luar jangka dalam tempoh terdekat.
Keadaan tersebut disokong pelaksanaan subsidi bersasar, kawalan harga serta langkah perundangan sedia ada yang membantu mengekang tekanan kenaikan harga.
Sehubungan itu, pendekatan dasar dilihat lebih tertumpu kepada perlindungan golongan rentan melalui langkah bersasar, bagi memastikan kumpulan paling terjejas terus dibantu dalam persekitaran kos sara hidup mencabar.
Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi negara bakal berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun ini, didorong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan dan momentum pelaburan yang berterusan.
Julat unjuran itu lebih optimistik berbanding unjuran 4.0 peratus hingga 4.5 peratus oleh Kementerian Kewangan (MOF) di bawah Belanjawan 2026 yang diumum pada Oktober tahun lalu.