MICECA wajar disemak semula secara berstruktur

FOTO MALAYSIA INDIA BUSINESS COUNCIL

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia–India (MICECA) wajar disemak semula secara berstruktur agar selari dengan keutamaan abad ke-21, seperti perdagangan digital dan perkhidmatan termaju.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan struktur MICECA diperlukan untuk selari dengan keutamaan abad ke-21 seperti perdagangan digital dan perkhidmatan termaju.
  • Perluas skop perjanjian kepada fintech, tenaga boleh diperbaharui dan penjagaan kesihatan serta pertingkat peraturan asal dan kastam.
  • Padankan MICECA dengan AITIGA untuk kurangkan halangan kawal selia dan sokong integrasi rantaian nilai serantau dalam elektronik.
  • Perkukuh MIDC segera dan teruskan dialog sektor keutamaan termasuk semikonduktor, infrastruktur, pendidikan, kesihatan, digital dan AI.

Menurut Majlis Perniagaan Malaysia India (MIBC), semakan semula perlu mempertimbangkan peluasan skop perjanjian merangkumi teknologi kewangan, tenaga boleh baharu dan penjagaan kesihatan;penambahbaikan peraturan asal serta pemudahan prosedur kastam.

”Ahli forum juga berharap MICECA dapat diselaraskan dengan semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN–India (AITIGA).

”Langkah ini dapat mengurangkan halangan kawal selia dan menggalakkan integrasi rantaian nilai serantau, khususnya dalam sektor elektronik dan semikonduktor,” menurut kenyataan itu.

Cadangan penambahbaikan MICECA yang berkuat kuasa sejak Julai 2011, antara fokus perbincangan utama pada Mesyuarat ke-10 Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) India–Malaysia, berlangsung semalam.

Forum turut mengiktiraf penubuhan Majlis Digital Malaysia–India (MIDC) pada 2024, yang disifatkan sebagai langkah berwawasan dalam mendepani transformasi digital global.

Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk memperkukuhkan MIDC dengan segera, dengan membangunkan asas sedia ada dengan pendekatan lebih berskala, berimpak dan hasil yang boleh diukur.

”Melangkah ke hadapan, ahli forum sepakat untuk mengekalkan dialog berterusan mengikut sektor keutamaan merangkumi semikonduktor, infrastruktur, pendidikan dan kemahiran, kesihatan, serta digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Forum itu juga akan terus kekal sebagai platform utama kerjasama industri dan kerajaan dalam memacu pertumbuhan inklusif serta memperkukuh hubungan antara dua ekonomi dinamik Asia,” menurut kenyataan itu.