Malaysia Airlines sambung semula penerbangan KL–Chengdu

Foto FB Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Malaysia Airlines menyambung semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Chengdu, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap pasaran China yang lebih meluas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia Airlines sambung semula laluan KL–Chengdu untuk kukuhkan komitmen terhadap pasaran China.
  • Penerbangan MH526 mencatatkan faktor muatan 91 peratus menunjukkan permintaan menggalakkan.
  • Frekuensi tujuh kali seminggu menyokong pertumbuhan perjalanan dua hala dan hubungan perniagaan serta pelancongan.
  • Laluan ini memperbaiki sambungan ke ASEAN, Asia Selatan dan Australasia serta manfaatkan lanjutan pengecualian visa bersama.

Syarikat penerbangan itu menerusi satu kenyataan berkata, usaha itu juga bertujuan mempertingkatkan kesambungan penerbangan antara Malaysia dan barat China selain menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

”Penerbangan pertama MH526 yang berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Tianfu (TFU) pada 9 Januari memperlihatkan permintaan menggalakkan dengan faktor muatan sebanyak 91 peratus.

“Menerusi penambahan perjalanan udara ke Chengdu, Malaysia Airlines kini menawarkan perkhidmatan ke tujuh destinasi di seluruh China, membuktikan keyakinan berterusan terhadap pasaran ini,” menurut Malaysia Airlines.

Berdasarkan kekerapan penerbangan sebanyak tujuh kali seminggu, laluan tersebut dijangka menyokong permintaan perjalanan dua hala yang semakin meningkat di samping memperkukuh hubungan perniagaan dan pelancongan.

Selain itu, destinasi terbaharu itu juga menawarkan kesambungan yang lancar untuk penumpang yang menuju ke destinasi merentasi ASEAN, Asia Selatan dan Australasia menerusi Kuala Lumpur.

Pengenalan semua penerbangan bagi laluan Chengdu adalah sejajar dengan lanjutan Perjanjian Pengecualian Visa Bersama Malaysia-China, yang membolehkan tempoh tinggal lebih lama serta menggalakkan aliran perjalanan yang lebih besar antara kedua-dua negara.