
PUTRAJAYA, 21 Julai – Amalan ‘Ali Baba’ yang semakin membimbangkan dalam sektor perniagaan menjadi tumpuan utama apabila Kementerian Ekonomi sedang memperincikan cadangan kerangka perundangan bagi membendung kegiatan ‘rent-seeking’ itu.
- Mesyuarat PEMUDAH setuju tumpu tindakan terhadap penyalahgunaan visa, penggunaan proksi, penyewaan lesen dan amalan Ali Baba yang menjejaskan peniaga tempatan.
- Strategi intervensi meliputi pematuhan, pemantauan, pemerkasaan, pengukuhan pematuhan vendor, perkongsian data dan penguatkuasaan bersepadu antara agensi.
- Kementerian Sumber Manusia bersama agensi berkaitan akan merincikan dan menyelaras tindakan susulan secara terkoordinasi.
- Reformasi peraturan disasarkan tingkatkan kecekapan kerajaan, memudahkan perniagaan, selaras kerangka Business Ready dan sasaran daya saing 2030.
Ini termasuk menilai keperluan menggubal undang-undang baharu atau menambah baik peruntukan sedia ada.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan selaras dengan usaha Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk memperkukuh tindakan menangani aktiviti perniagaan tidak sah yang melibatkan warga asing.
Pada masa sama, PEMUDAH turut menyasarkan reformasi peraturan yang lebih pantas bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat PEMUDAH Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Ameer Ali Mydin.
“Mesyuarat turut meneliti isu penyalahgunaan pas imigresen atau visa, penggunaan proksi, penyewaan lesen serta amalan Ali Baba oleh warga asing yang dilihat menjejaskan persaingan adil dan kelangsungan peniaga tempatan.
“Antara strategi intervensi yang dipersetujui ialah pendekatan berasaskan pematuhan, pemantauan dan pemerkasaan, termasuk pengukuhan pematuhan vendor, perkongsian data, penguatkuasaan bersepadu antara agensi serta usaha meningkatkan keupayaan industri untuk mengenal pasti dan melaporkan ketidakpatuhan,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama agensi kerajaan berkaitan akan memperincikan dan menyelaras tindakan susulan.
Kementerian Ekonomi memaklumkan, PEMUDAH akan meneruskan reformasi peraturan secara lebih berfokus bagi meningkatkan kecekapan kerajaan, memperbaiki kualiti kawal selia dan memudahkan urusan perniagaan, termasuk melalui penyelarasan dengan kerangka ‘Business Ready’.
Usaha berkenaan selaras dengan sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2030.