
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kelemahan sistem petrodolar berpotensi mencetuskan perubahan besar dalam landskap ekonomi global serta meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa.
- China dan Rusia mula menggunakan mata wang sendiri bagi urus niaga minyak untuk kurangkan kebergantungan kepada USD.
- Kebanyakan transaksi minyak mentah masih dilaksanakan dalam USD, mengekalkan dominasi mata wang itu dalam perdagangan dunia.
- Konflik berterusan di Asia Barat boleh mengganggu rantaian bekalan global dan menjejaskan kestabilan ekonomi dunia.
- Peralihan kepada sistem mata wang alternatif boleh mengurangkan permintaan terhadap USD, menjejaskan nilai dan pengaruh ekonomi Amerika Syarikat.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata perkembangan semasa menunjukkan beberapa negara mula mencari alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Dolar Amerika Syarikat (USD)khususnya dalam urus niaga minyak.
“China dan Rusia adalah negara yang telah menggunakan mata wang sendiri sebagai alternatif dan langkah bagi mengurangkan kebergantungan kepada kepada USD dalam urus niaga minyak ini”
“Walaupun negara mempunyai mata wang domestik masing-masing, kebanyakan transaksi minyak mentah semasa masih dilaksanakan menggunakan USD, sekaligus menjadikan mata wang itu dominan dalam perdagangan dunia, katanya ketika dihubungi dalam Program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa konflik berterusan di Asia Barat berpotensi mengganggu rantaian bekalan global dan memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia.
Selain itu, faktor geopolitik turut memainkan peranan penting, terutama melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan sekitar 20 hingga 30 peratus bekalan minyak dunia setiap hari.
Mengulas lanjut, Dr Umi berkata sekiranya peralihan kepada sistem mata wang alternatif terus berlaku, permintaan terhadap USD dijangka berkurangan, sekali gus memberi kesan kepada nilai mata wang tersebut serta pengaruh ekonomi Amerika Syarikat di peringkat global.
Sistem petrodolar merujuk kepada penggunaan AS Dolar (USD) sebagai mata wang utama dalam urus niaga minyak di peringkat global.