
KUALA LUMPUR, 30 Januari –Bursa Malaysia Bhd menegaskan kelulusan bagi tawaran awam permulaan (IPO) dengan saham apungan bebas bawah 25 peratus tidak menjejaskan keyakinan penyedia indeks global, Morgan Stanley Capital International (MSCI).
- Bursa Malaysia menegaskan IPO dengan free float bawah 25% tidak menjejaskan keyakinan MSCI.
- Semua kelulusan IPO dibuat mengikut garis panduan dan parameter peraturan yang jelas.
- Bursa mengekalkan standard pendedahan dan ketelusan yang tinggi dalam penilaian saham.
- MSCI menilai kebolehlaburan melalui kecairan, permodalan pasaran diselaraskan dan aksesibiliti.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pihaknya terus mengekalkan standard pendedahan dan ketelusan yang tinggi.
Jelas beliau, setiap kelulusan dibuat berdasarkan garis panduan dan parameter peraturan yang ditetapkan.
“Situasi kita berbeza daripada Indonesia dan saya juga akan dapatkan maklum balas daripada rakan sekerja di bahagian pengawalseliaan.
‘Tetapi apabila saham apungan bebas ditetapkan, kami mempunyai parameter yang sangat jelas berkaitan penilaiannya yang bergantung kepada permodalan pasaran bagi penerbitan atau pemohon tertentu,” katanya.
Beliau menyatakannya pada taklimat media keputusan Tahun Kewangan 2025 (TK2025) Bursa Malaysia.
Selain daripada saham apungan bebas, MSCI turut menilai pelbagai jenis kriteria kebolehlaburan, seperti kecairan, permodalan pasaran yang diselaraskan serta aksesibiliti.
Sebelum ini, MSCI mengumumkan penangguhan beberapa penyesuaian indeks bagi syarikat-syarikat Indonesia berikutan kebimbangan mengenai pemilikan saham yang terhad.
Tindakan itu menyebabkan saham-saham di Jakarta merosot 8.8 peratus dalam sehari, penurunan paling mendadak sejak April 2025.
Ia sekaligus mencetuskan penghentian dagangan secara automatik.