
KUALA LUMPUR, 6 April-Gangguan rantaian bekalan global yang melanda industri automotif susulan konflik di Asia Barat perlu dilihat sebagai peluang buat pemain tempatan untuk memperluaskan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di negara ini.
- Gangguan bekalan komponen beri peluang bagi pemain tempatan memperluas pengeluaran kenderaan elektrik di Malaysia.
- Memperkasa fasiliti pengecasan untuk sokong pertumbuhan ekosistem EV yang komprehensif.
- Perluaskan penggunaan EV secara berperingkat, sektor awam bertindak sebagai pemangkin melalui penggantian kenderaan kerajaan dan bas.
Pengamal Industri Automotif Negara dan Antarabangsa, Tc. Khairull Anuar Ismail berkata ketidaktentuan bekalan komponen global memberi kesan kepada operasi pemasangan kenderaan berenjin konvensional.
Katanya, situasi tersebut wajar dimanfaatkan dengan membangunkan industri kenderaan alternatif yang lebih mampan.
“Saya boleh nampak ada peluang lain yang timbul, hasil daripada gangguan yang sedang ada.
“Sebagai satu contoh, kita sedang melakukan pemasangan kenderaan berenjin dimana kos bahan api sekarang sedang terkesan.
“Jadi kerajaan boleh menggalakkan pentumbuhan kenderaan alternatif sebagai kenderaan elektrik dengan sokongan pemain industri,” katanya kepada RTM.
Khairull Anuar turut menekankan bahawa pembangunan infrastruktur seperti fasiliti pengecasan perlu diperkasa bagi menyokong pertumbuhan ekosistem EV yang lebih komprehensif.
Selain itu, beliau menyarankan agar penggunaan kenderaan elektrik diperluaskan secara berperingkat dengan sektor awam bertindak sebagai pemangkin utama.
“Kita juga menggalakkan agar penggunaan kenderaan elektrik ini diperluaskan bermula daripada mungkin cadangan untuk pihak kerajaan menggunakan sebagai kenderaan mereka dulu.
“Sebagai contoh bas Rapid KL yang sudah menggunakan bas elektrik di beberapa kawasan.
“Jadi kita juga boleh usulkan, mungkin kerajaan boleh gantikan kenderaan petrol, diesel kepada kenderaan elektrik mana manfaatnya boleh menjimatkan bahan api dan mengurangkan pencemaran alam,” ujarnya.