
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Ekonomi Malaysia mencatat prestasi memberangsangkan apabila Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Suku Keempat 2025 melonjak kepada 5.7 peratus, sekali gus mengatasi unjuran rasmi Kerajaan.
- Pertumbuhan KDNK Suku Keempat 2025 melonjak kepada 5.7 peratus, melebihi jangkaan.
- Pencapaian tahun 2025 dianggar sekitar 4.9 peratus mencerminkan ketahanan ekonomi negara.
- Reformasi MADANI dan subsidi bersasar membantu melindungi kuasa beli golongan memerlukan.
- Peningkatan hubungan diplomatik menyemarakkan pelaburan langsung asing dan perdagangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran dalam laman Facebook memaklumkan, perkembangan itu menyaksikan pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun 2025 berada pada sekitar 4.9 peratus.
Beliau menjelaskan, pencapaian berkenaan mencerminkan ketahanan ekonomi negara, meskipun berdepan kesan tarif timbal balik serta cabaran persekitaran global.
Menurutnya, reformasi ekonomi di bawah Kerajaan MADANI, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar berjaya memastikan impaknya tidak membebankan rakyat dan terus memelihara kuasa beli golongan memerlukan.
Perdana Menteri yakin, pengukuhan hubungan diplomatik dengan rakan antarabangsa telah meningkatkan keyakinan pelabur, sekali gus merancakkan pelaburan langsung asing dan perdagangan.