Dagangan Malaysia diunjur tumbuh 3 hingga 5 peratus pada 2026 – MITI

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berucap pada Majlis Pasca Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025 di Menara MATRADE/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan pertumbuhan dagangan Malaysia antara 3 hingga 5 peratus pada 2026, mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta risiko kejadian luar jangka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran pertumbuhan dagangan Malaysia antara 3 hingga 5 peratus pada 2026 mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global dan risiko luar jangka.
  • MITI akan terus kepelbagaian pasaran, manfaatkan perjanjian perdagangan bebas dan perkasakan libat urus industri untuk kekalkan momentum perdagangan.
  • Prestasi 2025 melepasi RM3 trilion dengan eksport kukuh ke ASEAN, AS, Taiwan dan EU sebagai sokongan utama.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata sasaran itu turut dipengaruhi oleh faktor bahan mentah, lebihan bekalan dalam beberapa sektor serta kemungkinan kelembapan ekonomi rakan dagang utama.

“Melihat kepada keadaan ekonomi semasa, saya optimis kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan. Sudah tentu akan ada kejadian luar jangka. Kita tidak tahu sama ada akan berlaku kelembapan ekonomi besar atau krisis dalam kalangan rakan dagang kita, dan itu berada di luar kawalan kita.

“Namun buat masa ini, seperti tahun lalu, sasaran pertumbuhan perdagangan adalah sekitar tiga hingga lima peratus, tetapi akhirnya ia melebihi enam peratus.”katanya di Majlis Pasca Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025.

Tambahnya, walaupun prestasi dagangan tahun lalu mencatat pertumbuhan melebihi sasaran awal, Malaysia tetap perlu bersedia menghadapi sebarang cabaran global.

MITI juga akan terus melaksanakan strategi kepelbagaian pasaran, memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) serta memperkukuh libat urus dengan industri bagi mengekalkan momentum perdagangan negara.

Bagi 2025, jumlah perdagangan buat pertama kali melepasi paras RM3 trilion, meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan eksport yang kukuh ini telah disokong oleh rekod eksport tertinggi ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU).

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan