BSN, SJKP buka peluang pemilikan rumah pertama kepada pekerja Gig, kakitangan kontrak

Foto BSN

KUALA LUMPUR, 14 Mac -Peluang memiliki rumah pertama kini lebih terbuka kepada pekerja gig dan kakitangan kontrak kerajaan menerusi inisiatif pembiayaan perumahan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

RINGKASAN BERITA AI
  • BSN tawarkan pembiayaan fleksibel melalui MyFirstHome-i dan BSN MyHome-i SJKP MADANI.
  • Proses dokumentasi dipermudah dengan pengesahan pendapatan alternatif bagi pemohon tanpa slip gaji tetap.
  • Kerjasama dengan foodpanda memudahkan pengemukaan dokumen sokongan seperti surat pengesahan pekerjaan dan rekod pembayaran.
  • Dana RM500 juta disediakan menerusi Belanjawan 2026 dan peluang bersama PR1MA untuk perumahan mampu milik.

Menerusi inisiatif itu, ia sekali gus dapat memperluas akses pemilikan rumah secara lebih inklusif dengan tawaran pembiayaan perumahan melalui skim MyFirstHome-i dan BSN MyHome-i SJKP MADANI yang lebih fleksibel.

Kedua-dua skim ini dilengkapi proses dokumentasi yang dipermudah serta kaedah pengesahan pendapatan alternatif bagi pemohon yang tidak mempunyai slip gaji tetap.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BSN dalam memperkukuh peluang pemilikan rumah kepada rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mempunyai sumber pendapatan tetapi berdepan kekangan dari segi dokumentasi.

“Ramai pekerja gig sebenarnya mempunyai pendapatan yang stabil, namun sering berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana keperluan dokumentasi tertentu.

Melalui SJKP, BSN membuka ruang kepada lebih ramai dalam kalangan mereka untuk mendapatkan pembiayaan dan merealisasikan impian memiliki rumah pertama,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi segmen pekerja gig, BSN turut menjalinkan kerjasama dengan foodpanda Malaysia bagi memudahkan pemohon mengemukakan dokumen sokongan alternatif seperti surat pengesahan pekerjaan dan rekod pembayaran.

Sementara itu, bagi kakitangan kontrak kerajaan, BSN telah diperuntukkan dana sebanyak RM500 juta menerusi Belanjawan 2026 Malaysia bagi menyokong pembiayaan rumah pertama, selain memperluas peluang pemilikan rumah mampu milik bersama PR1MA.

Seiring dengan inisiatif tersebut, BSN turut melancarkan kempen ‘Rumah untuk Semua’ bermula 1 Februari hingga 30 Jun 2026, menawarkan 30 hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000 kepada pelanggan yang mengambil pembiayaan minimum RM100,000.

Langkah awal inisiatif itu disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam satu majlis semalam, yang menandakan komitmen BSN memperluas peluang pembiayaan perumahan kepada pekerja gig dan kakitangan kontrak kerajaan melalui SJKP.

Ia sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat untuk merealisasikan impian memiliki rumah pertama mereka.