Belum ada keperluan perkenal pakej rangsangan ekonomi

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan – Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi buat masa ini, susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada rancangan memperkenalkan pakej rangsangan buat masa ini; kerajaan memantau perkembangan konflik dan impaknya.
  • Kerajaan fokus menangani keperluan jangka pendek dan memastikan keadaan ekonomi tetap terkawal.
  • Bantuan mengurangkan beban kenaikan kos melalui Skim BUDI95, BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.
  • Kerajaan menanggung subsidi bahan api tinggi; rakyat digesa berjimat tenaga dan kurangkan perbelanjaan tidak perlu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tumpuan kerajaan adalah untuk menangani isu keperluan dalam jangka masa pendek seterusnya memastikan keadaan ekonomi tetap terkawal.

Pada masa sama, membantu menampung tekanan kenaikan kos yang dihadapi rakyat susulan ketidaktentuan geopolitik global.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menentukan tempoh konflik itu serta sejauh mana impaknya kepada ekonomi.

“Kita belum tahu lagi sama ada krisis di Asia Barat ini akan berlanjutan atau tidak. Kalau ia tidak berlanjutan, tidak perlulah kita mengambil langkah seperti memperkenalkan pakej rangsangan,” katanya selepas melancarkan Hari Penglibatan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) di ibu negara.

Ujarnya lagi, bagi menyerap tekanan disebabkan kenaikan harga minyak global, kerajaan juga mengambil langkah membantu mengurangkan beban rakyat melalui Skim BUDI95, BUDI Individu, BUDI Agri-Komoditi.

Tambahnya, kerajaan turut mengambil kira perjalanan rakyat ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan permintaan lebih tinggi terhadap bahan api.

”Jadi kalau kita lihat tahun-tahun sebelumnya, syarikat minyak akan mengambil pendekatan untuk meletakkan
menempatkan lebih banyak tangki simpanan di kawasan yang mencatatkan penggunaan tinggi bagi memastikan bekalan tidak terputus,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan agar rakyat dan komuniti perniagaan supaya mengambil langkah berwaspada termasuk mengurangkan penggunaan tenaga dan perbelanjaan yang tidak perlu, memandangkan kesan daripada krisis tersebut bukan hanya melibatkan Malaysia tetapi turut dirasai di peringkat global.

Sebelum ini, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerajaan menanggung subsidi bahan api sebanyak RM3.2 bilion sebulan untuk kesejahteraan rakyat.

Subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.