Bayaran balik cukai dikreditkan mulai minggu kedua Mac secara berperingkat

Maklumat lengkap dan tepat, bayaran balik boleh diproses lebih awal daripada tempoh ditetapkan/Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 6 Mac – Bayaran balik cukai kepada pembayar cukai yang layak mula dikreditkan secara berperingkat mulai minggu kedua Mac 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melibatkan pembayar cukai individu yang mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2025.
  • BNCP melalui e-Filing diproses sehingga 30 hari bekerja; penghantaran manual sehingga 90 hari bekerja.
  • Pastikan maklumat akaun bank dilaporkan kepada HASiL tepat dan terkini supaya bayaran balik diproses lancar; maklumat lengkap boleh mempercepat.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan, bayaran balik itu melibatkan pembayar cukai individu yang telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025.

Selaras Piagam Pelanggan agensi itu, bayaran balik bagi BNCP yang dihantar melalui e-Filing akan diproses dalam tempoh sehingga 30 hari bekerja, manakala bagi penghantaran secara manual pula sehingga 90 hari bekerja.

Bagaimanapun, sekiranya maklumat yang dikemukakan lengkap dan tepat serta tidak memerlukan semakan lanjut, bayaran balik boleh diproses lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, pembayar cukai dinasihat memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada HASiL adalah tepat dan terkini bagi memastikan kelancaran proses bayaran balik.