AirAsia X dinamakan semula sebagai AirAsia

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Capital A Bhd akan mengemukakan permohonan untuk keluar daripada status PN17 pada 19 Januari ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.

RINGKASAN BERITA AI
  • AirAsia X dinamakan semula sebagai AirAsia dan akan disenaraikan sebagai saham baharu pada 19 Januari.
  • AirAsia disasarkan menjadi kumpulan penerbangan dan jenama global dengan perkembangan hab tambang rendah di UAE dan Qatar.
  • Tempahan pesawat sedang dimuktamadkan untuk kurangkan kos dan tingkatkan margin melalui perancangan armada lebih baik.
  • Kumpulan akan jalankan jelajah pelabur domestik dan antarabangsa serta fokus pada lima perniagaan teras pasca penstrukturan semula.

Menerusi catatan di LinkedIn, beliau turut memaklumkan, AirAsia X akan dinamakan semula sebagai AirAsia dan disenaraikan sebagai saham baharu pada tarikh yang sama.

“AirAsia akan menjadi satu kumpulan syarikat penerbangan dan jenama dengan matlamat untuk berkembang di peringkat global.

“Menerusi hab kami di Bahrain, kami akan mewujudkan versi tambang rendah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar serta meliputi semua benua,” katanya.

Tambah beliau, syarikat juga sedang memuktamadkan tempahan pesawat, yang akan mengurangkan kos dan meningkatkan margin melalui perancangan armada pesawat yang lebih baik.

Sementara itu, Capital A dalam kenyataan berkata, kumpulan itu akan meningkatkan penglibatan dengan penganalisis dan pelabur menjelang proses penstrukturan semula yang hampir selesai.

“Kumpulan bercadang untuk memulakan siri jelajah pelabur domestik dan antarabangsa dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk menyampaikan visi pasca penstrukturan semula berpacukan lima perniagaan teras iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, logistik, agensi pelancongan dalam talian, makanan dan minuman serta penjenamaan,” katanya.