
SUNGAI PETANI, 2 April – Sebanyak 41 syarikat tempatan yang terlibat dalam Program Agrobank Upward Migration (AUM) mencatat peningkatan hasil berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah jualan terkumpul bagi tahun 2025 lebih RM38.72 juta.
- Program AUM catat peningkatan jualan sebanyak 33.8% (lebih RM9.78 juta), menunjukkan keberkesanan merancakkan daya saing dan kapasiti perniagaan.
- Sembilan syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah RM546,000 menerusi Program AUM.
- AUM oleh Agrobank Centre of Excellence adalah program 12 bulan menyepadukan teori dan aplikasi praktikal untuk memperkasa PKS sektor makanan.
Menurut Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, peningkatan hasil jualan itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program tersebut dalam meningkatkan daya saing usahawan tempatan serta memperkukuh kapasiti perniagaan mereka.
Katanya dalam kenyataan hari ini, kadar peningkatan yang dicatatkan adalah sebanyak 33.8 peratus iaitu peningkatan lebih RM9.78 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Melalui bimbingan jurulatih Agrobank serta usaha gigih para usahawan, sebanyak sembilan syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan dengan jumlah keseluruhan RM546,000 menerusi Program AUM,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Aspirasi Kecemerlangan di Sungai Petani pada Selasa meraikan usahawan tempatan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis yang terlibat dalam program itu.
Dalam majlis berkenaan, Agrobank turut mengiktiraf lima syarikat yang mencatat pencapaian cemerlang dalam pelbagai kategori, antaranya Peningkatan Jualan, Pengembangan Perniagaan, Penciptaan Pekerjaan, Penciptaan Inovasi serta Penambahan Kapasiti (Pembiayaan).
Inisiatif AUM yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) bertujuan memperkasa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor keterjaminan makanan agar terus berkembang secara mampan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Program AUM dirangka sebagai inisiatif pembangunan usahawan selama 12 bulan yang mengintegrasikan pembelajaran teori dan aplikasi praktikal.