ARAU, 9 Mei- Majlis Belia Negeri Perlis (MBN Perlis) tampil mengadakan program 'Road To Hari Belia Negara' bersempena dengan Hari Belia Negara, yang disambut saban tahun pada 15 Mei.
Acara yang akan dijayakan pada 17 dan 18 Mei ini diadakan di Kampus Uniciti Alam UniMAP Sungai Chuchuh, selari sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis.
Timbalan Presiden 1 Majlis Belia Negeri Perlis, Amar Abd Jalil menyasarkan penglibatan seramai 35,000 peserta sama ada secara fizikal mahu pun dalam talian.
Jelas Amar, pihaknya turut merencana beberapa program awal bagi menyemarakkan lagi sambutan, termasuk akan menjelajah ke setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) dan sekolah di seluruh Perlis.
Kolaborasi antara pelbagai pertubuhan belia serta kepimpinan kerajaan negeri turut dilibatkan dalam menjayakan sambutan itu.
Sambutan Hari Belia Negara disambut sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan belia dalam pembangunan negara.