fb fb fb fb fb

‘Jom Pandai Berenang’: JBPM Sasar 50,000 pelajar

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 November – Bagi mengurangkan kadar insiden lemas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan program rintis Jom Pandai Berenang dengan memberi latihan kemahiran asas renang kepada pelajar sekolah di seluruh negara.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, JBPM menyasarkan 50,000 pelajar sekolah rendah dan menengah menerima latihan tersebut bagi meningkatkan keupayaan menyelamat kendiri ketika berdepan kecemasan di air.

“JBPM turut mendedahkan sebanyak 1,359 kes kematian akibat lemas direkodkan dari 2020 hingga 2024, iaitu purata 272 kematian setahun.

“Setakat ini, 204 pelajar telah menerima latihan di bawah program berkenaan, sekali gus menjadi langkah proaktif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Keselamatan Aktiviti di Air bagi mengurangkan kadar insiden lemas di negara ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Sentuhan Kejayaan KPKT, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nga turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan talian kecemasan secara bertanggungjawab susulan pelaksanaan sistem panggilan kecemasan baharu, Next Generation Emergency Services (NG999).

“Sehingga September tahun ini, 169,015 panggilan palsu telah direkodkan. Ini bukan sahaja satu bentuk penyalahgunaan sistem, malah memberi impak negatif terhadap masa tindak balas pasukan penyelamat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya; serta Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.

AZRUL FAIZAL JUSOH