fb fb fb fb fb

Waspada sindiket penipuan guna nama Yayasan Waqaf Malaysia kutip sumbangan

Foto FB Yayasan Waqaf Malaysia

PUTRAJAYA, 30 Mei - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan yang mempergunakan nama YWM dan Tabung Musa’adah JAKIM-YWM bagi tujuan kutipan sumbangan secara tidak sah.

YWM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menerima aduan mengenai kewujudan sindiket berkenaan dengan modus operandi penipuan dilakukan oleh sebuah platform pemasaran dalam talian.

“Orang ramai dijemput menyertai kumpulan WhatsApp dan Telegram, kemudian diminta atau dipaksa membuat sumbangan dengan janji ganjaran wang tunai sebagai pulangan,” menurut kenyataan itu.

YWM memaklumkan pihaknya sama sekali tidak pernah menjalin sebarang bentuk kerjasama, perjanjian atau pengiktirafan bersama platform pemasaran berkenaan untuk tujuan kutipan Tabung Musa’adah JAKIM-YWM atau Tabung Sa’adah JAKIM-YWM atau mana-mana tabung serta dana wakaf anjuran yayasan.

“Orang ramai diingatkan dan dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan sebarang tawaran, jemputan atau iklan sumbangan wakaf yang disebarkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan YWM memandang serius perkara berkenaan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama yayasan dan nama-nama produk untuk tujuan penipuan.

Sebarang maklumat atau aduan berkaitan penipuan boleh disalurkan terus ke pihak YWM melalui saluran rasmi iaitu emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan WhatsApp YWM di talian 019-2007481.- BERNAMA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN