KUALA LUMPUR, 29 Januari - Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah tuah 'wartawan' cilik Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 11, yang menerima hadiah komputer tablet daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kerana mengagumi kepetahannya melaporkan video ular sawa baru-baru ini.
Annuar yang teruja dengan laporan Muhammad Haziq menerusi hantaran di Twitter pada Sabtu berkata; "Kesungguhan dan kebolehan adik Haziq perlu digalakkan jadi saya menghadiahkan sebuah gajet buat beliau. Belajar rajin-rajin!”
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pos Malaysia serta berkongsi beberapa gambar termasuk gambar Muhammad Haziq menerima hadiah itu daripada petugas Pos Malaysia.
Kanak-kanak lelaki itu sebelum ini mencuri perhatian orang ramai selepas video berdurasi dua minit 47 saat yang disiarkan di laman Facebook secara langsung tular.
Muhammad Haziq membuat laporan seolah-olah seperti seorang wartawan yang membuat laporan Kewartawanan peranti (MOJO) kerana menjumpai reptilia berkenaan di dalam longkang di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Kedah.
Pada Jumaat, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, menerima Sijil Penghargaan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di atas keprihatinan dan sikap adiwira yang ditunjukkannya dalam menyampaikan maklumat yang baik semasa kecemasan.
FOTO FACEBOOK APM NEGERI KEDAH
Penghargaan ‘Aura Prihatin Marga’ daripada APM disampaikan oleh Ketua Pesuruhjayanya, Aminurrahim Mohamed.
Dalam pada itu, Muhammad Haziq turut menerima tablet iPad daripada wakil Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.