fb fb fb fb fb

Warga pendidik sokong pelesenan automatik platform media sosial elak risiko kepada pelajar

Foto BERNAMA

KUANTAN,13 Disember- Warga pendidik menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan pelesenan secara automatik atau deeming terhadap platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet berskala besar di negara ini, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha penting untuk memastikan platform digital beroperasi dalam kerangka perundangan negara, selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak dan remaja yang aktif menggunakan media sosial.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, inisiatif itu mencerminkan kematangan Malaysia dalam mengurus tadbir kepenggunaan digital, khususnya berkaitan media sosial.

Menurut beliau, pelaksanaan pelesenan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara atau menghalang inovasi teknologi, sebaliknya memastikan penyedia platform global memikul tanggungjawab terhadap keselamatan pengguna di negara ini.

Di Kuantan, Pahang, seorang pendidik, Loga Thasan a/l Sundra Raju berkata, langkah MCMC itu wajar disokong kerana dapat mewujudkan persekitaran media sosial yang lebih selamat untuk murid dan masyarakat, sekali gus mengurangkan kes buli siber.

Seorang lagi pendidik, Subashini a/p Letchumanan pula berkata, pelesenan automatik tersebut memberikan jaminan bahawa terdapat pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal selia platform digital, sekali gus membuatkan murid dan guru berasa lebih selamat ketika menggunakan media sosial.

Selain meningkatkan keselamatan, pendekatan itu turut menekankan tanggungjawab bersama penyedia platform dalam membentuk ekosistem digital yang beretika dan mampan di Malaysia.

Terdahulu, MCMC mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2026, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi, ASP(C).

Pelaksanaan peruntukan deeming itu melibatkan platform seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, bagi memastikan tanggungjawab terhadap keselamatan pengguna dapat diperkukuh.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI