PUTRAJAYA, 7 Februari- Terdapat kira-kira 32% atau satu juta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak COVID-19 di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, risiko jangkitan teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas dan daripada 32,034 kematian sehingga 6 Feb 2022, sebanyak 18,362 atau 57.32% melibatkan warga emas.
Sehubungan itu, katanya KKM meminta supaya individu yang berumur 60 tahun dan ke atas segera mendapatkan dos penggalak dan boleh datang secara secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.
"KKM ingin memaklumkan sekali lagi, semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022."
"Dos penggalak memberi perlindungan daripada jangkitan COVID19 terutama sekali komplikasi teruk. Data harian menunjukkan individu yang belum divaksin adalah 9 kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan kematian akibat COVID-19 berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak," kata Khairy dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini.
Tambah Khairy, sehingga 6 Februari lalu, seramai 25,720,902 atau 78.8% penduduk Malaysia berumur 12 tahun dan ke atas telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, sementara 33,599 atau 1% kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah menerima dos pertama vaksin manakala 12,361,663 atau 52.8% penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.
KKM amat mengalakkan penduduk Malaysia untuk mendapatkan dos penggalak dengan seberapa segera bagi melindungi diri, keluarga dan negara terutama dengan peningkatan kes yang mendadak berkaitan dengan varian Omicron.