Warga emas maut dirempuh van di Lebuhraya Pan Borneo

FOTO IPD SARATOK

SARATOK, 26 Mac – Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah van dalam kemalangan di Kilometer 402.4 Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Nanga Assam, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan melibatkan van dipandu lelaki 77 tahun dan pejalan kaki perempuan berusia 85 tahun.
  • Pemandu yang menuju ke Sarikei cuba mengelak pejalan kaki melintas dari pembahagi ke bahu kiri tetapi gagal.
  • Mayat dihantar ke Hospital Saratok untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis DSP Mathew Manggie berkata, kemalangan melibatkan sebuah van dipandu lelaki berusia 77 tahun dan mangsa, pejalan kaki wanita berusia 85 tahun.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu van sedang dalam perjalanan menuju ke Sarikei sebelum kejadian berlaku.

“Setibanya di lokasi, pemandu cuba mengelak seorang pejalan kaki yang melintas dari arah pembahagi jalan ke bahu kiri.

“Namun, disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu gagal mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Saratok untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.