fb fb fb fb fb

Warga emas maut, cucu cedera motosikal merempuh kereta

Mangsa, Mohamad Norzizan Ismail, 61, mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

BALING, 4 Januari- Seorang lelaki warga emas maut, manakala cucunya cedera selepas motosikal yang dinaiki merempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Kuala Pegang/Parit Panjang, Baling kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
 
Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsudin Mamat berkata, ketika kejadian, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Pegang menghala ke Parit Panjang.
 
Manakala mangsa, Mohamad Norzizan Ismail, 61, bersama cucunya, Nur Damia Qaisara Norazlimi, 9 , yang menaiki sebuah motosikal dari arah Hospital Baling menghala ke Sik untuk menghantar cucunya di Kampung Kerawai.
 
Apabila tiba di tempat kejadian iaitu di Kampung Mengkuang Masjid, kenderaan pacuan empat roda telah membelok masuk ke kanan iaitu ke Stesen Minyak Buraqoil.
 
Mangsa yang mengekori dari belakang tidak sempat mengelak sebelum terlanggar bahagian sisi sebelah kanan kenderaan di laluan bertentangan.
 
Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat, manakala cucunya mengalami kecederaan di bahagian kepala dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
 
Sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI