MIRI, 2 Oktober - Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dasar gaung sedalam kira-kira 30 meter di kawasan Grand Old Lady, di sini, petang semalam.
Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.06 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
"Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia di bawah gaung sebelum operasi mengangkat mangsa dijalankan menggunakan tali penyelamat dan basket stretcher.
"Mangsa dikenali sebagai Wong Ted Voon, 70 tahun, warganegara Malaysia," katanya.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota bomba bersama polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu berjaya membawa keluar mangsa sekitar pukul 7.05 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.