Wanita nadi kekuatan keluarga, penggerak kemajuan negara – Perdana Menteri

Perdana Menteri bersama isteri dan anak-anak beliau

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Wanita disifatkan sebagai nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat serta penggerak penting kepada kemajuan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hargai pengorbanan, ketabahan dan kebijaksanaan wanita demi masa depan keluarga dan masyarakat.
  • Penghargaan peribadi Perdana Menteri terhadap isteri dan anak sebagai sumber kekuatan dan sokongan.
  • Seruan menghormati, memerkasa dan memberi ruang adil kepada wanita untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat yang sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan yang lebih baik.

“Wanita adalah nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat dan penggerak penting kepada kemajuan negara,” katanya menerusi hantaran sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini.

Beliau berkata secara peribadi beliau amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupannya, khususnya isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan sokongan.

Menurutnya, kekuatan yang sama turut terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara termasuk ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang sentiasa berjuang demi keluarga serta negara.

“Sempena Hari Wanita Antarabangsa, marilah kita bersama-sama menghargai peranan dan sumbangan besar wanita serta memastikan mereka terus dihormati, diperkasa dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

“Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,” katanya.