Wanita maut dalam nahas di Siburan

SIBURAN, 15 Oktober – Seorang wanita maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Keromboi, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang wanita, Siti Nur Hafinda, 49, maut di lokasi selepas motosikal bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Keromboi.
  • Rakan mangsa, Mering anak Singing, 30, cedera parah dan dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.
  • Pasukan bomba tiba 12 minit selepas dipanggil; mayat diserahkan kepada polis dan operasi ditamatkan pada 7.30 pagi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.40 pagi.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan yang tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta jenis sedan.

“Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nur Hafinda, 49 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala rakannya, Mering anak Singing, 30 tahun, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.

“Pemandu kereta sedan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut PGO JBPM Sarawak.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi.