SEPANG, 14 Mac - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman membela diri atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang, tiga tahun lepas.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Aliff Syukri pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah menetapkan keterangan bela diri selama empat hari iaitu 19 dan 22 Mei, 16 Jun serta 3 Julai.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Aliff Syukri diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd Radzlan Jalaludin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Faten Hadni Khairuddin.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ahmad Fuad dalam penghakimannya berkata video tidak sopan itu dimuat naik ketika Ramadan, iaitu bulan umat Islam berpuasa dan harus dihormati.
Selain itu, beliau berkata hujahan Awang Armadajaya bahawa video di akaun aliffsyukriterlajaklaris tidak dimuat naik oleh anak guamnya adalah tidak berasas kerana Aliff Syukri mempunyai pengetahuan atas kewujudan video itu kerana akaunnya memerlukan pengesahan dua faktor.
Aliff Syukri yang ditemui di luar mahkamah selepas selesai prosiding berkata beliau menghormati keputusan mahkamah.
"Setelah hampir dua tahun (kes berjalan) saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya," katanya. - BERNAMA