fb fb fb fb fb

Usul bahas LKAN perkukuh mekanisme semak dan imbang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) perlu terus dibahaskan di Dewan Rakyat sebagai langkah memperkukuh mekanisme semak dan imbang demi kepentingan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut beliau, usul berkenaan penting dalam memastikan tadbir urus sektor awam yang cekap, telus dan berkesan, selaras dengan penelitian yang dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Selaras dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, Kerajaan MADANI telah mengambil langkah besar dengan membentangkan serta membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan yang mulia ini.

"Langkah ini merupakan perubahan signifikan berbanding sebelum ini, apabila laporan hanya dibentangkan tanpa ruang untuk dibahaskan secara terbuka," katanya ketika membentangkan Usul LKAN 2/2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, perdana menteri turut memandang serius terhadap isu ketirisan, ketidakpatuhan peraturan serta pelanggaran syarat yang dilaporkan.

LKAN telah dibentangkan sebanyak empat kali di Dewan Rakyat, sejak pembentangan dan perbahasan dimulakan pada 6 Jun 2023.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI